Monday, August 10, 2009

Cinta itu sihat....:))

Hidup akan terasa sunyi dan hambar tanpa hadirnya cinta. Cinta yang ikhlas dapat menjamin kehidupan yang lebih ceria dan bahagia tetapi cinta yang tidak disulami dengan kasih sayang akan mendatangkan derita pada diri. Walau bagaimanapun, kehadiran cinta amat penting dalam hidup kerana ia mampu menjadi pendorong dalam melakukan aktiviti seharian, seterusnya membuatkan diri anda sentiasa cergas, sihat dan gembira.

8 Alasan Cinta Itu Penting:

1. Memberikan Kepercayaan Diri

Tekanan dan masalah dalam karier mungkin terbawa-bawa dalam kehidupan peribadi. Jadi, cinta berfungsi untuk mengembalikan kekuatan diri, memberikan ketenangan dan dapat melupakan seketika masalah di tempat kerja. Cinta berupaya menyuntik semangat fizikal dan emosi untuk terus sukses dalam memburu impian.

2. Kehidupan Asmara Lebih Indah

Apabila anda mempunyai masalah, secara tidak langsung emosi akan berubah dan memberi kesan kepada pasangan anda. Oleh itu, bebaskan diri anda daripada belenggu masalah. Layari rasa cinta seadanya dan cinta juga adalah satu cara untuk anda merasa lebih dekat dengan pasangan anda.

3. Menjernihkan Fikiran

Kehadiran cinta bukan sahaja dapat mengelakkan tekanan tetapi mengembalikan kesegaran dan merangsang kreativiti anda. Ketika fikiran buntu dan kurang produktif, cinta mampu memberikan kesegaran dan menjana fikiran dengan lebih terbuka lagi.

4. Memberikan Kebahagiaan

Menurut kajian yang dijalankan, 82% yang mempunyai kerjaya dan bercinta dapat menjalani kehidupan yang bahagia. Bahkan 3/4 daripada mereka juga merasakan cinta membuatkan mereka semakin bersemangat untuk memburu kejayaan.

5. Meningkatkan Kualiti Hidup

Seseorang tidak akan memperolehi kesegaran fizikal yang sempurna dan hari-hari menjadi kusam dan muram tanpa hadirnya cinta. Sekurang-kurangnya cinta memberi kuasa dalam mengembalikan rasa ceria tanpa dibebani perasaan tertekan. Ia juga membuatkan seseorang itu gembira dibuai asmara.

6. Memperbaiki Persepsi Diri

Cinta mampu memperbaiki persepsi diri. Contohnya, anda merasa kurus dan tidak cantik tetapi apabila ada perasaan cinta, pasangan anda dapat menerima anda seadanya. Secara tidak langsung, dorongan cinta akan membuatkan anda merasa yakin untuk melakukan sesuatu perkara.

7. Menghindarkan Tekanan

Bercinta dapat mempengaruhi perubahan mood. Contohnya, kesibukan di tempat kerja membuatkan mood anda kurang baik. Selain melakukan senaman, cinta juga dapat menghasilkan hormon endorfin yang berfungsi untuk menghilangkan rasa sakit. Jadi, dengan cinta mampu menghindarkan tekanan seperti mendengar suara pasangan anda dapat memberi ketenangan dan menatap gambar boleh menghilangkan tekanan tersebut.

8. Momen Yang Terindah

Sebenarnya cinta adalah detik atau momen yang menyenangkan dan terindah. Jika anda menghargai cinta, bijak menguruskan cinta dan sentiasa membajai cinta dengan perasaan kasih sayang, pasti hari-hari yang anda lalui akan lebih bermakna dan segar di dalam hati selamanya.

No comments: